lailatul qadr..






1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar,

2. dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu?

3. malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

4. pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut);

5. sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!





“Sesiapa yang bangun (beribadat) pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan Ihtisab maka baginya keampunan untuk dosa-dosa yang lepas.” [HR: Al-Bukhari dan Muslim].

Beberapa kelebihan tentang Lailatul Qadar yang dapat diambil dari surah al-Qadar antaranya ialah:

Allah menurunkan al-Quran pada malam tersebut yang mana ia memberi petunjuk kepada manusia dan memberi kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Allah SWT menyoal “Apakah kamu mengetahui apakah dia Lailatul Qadar?” Persoalan seperti ini menunjukkan keagungan dan kemuliaan perkara tersebut.•
Ia lebih baik daripada 1000 bulan (83 tahun 3 bulan).

Para Malaikat akan turun ke dunia pada malamnya dengan membawa kebaikan, keberkatan dan rahmat.

Malam ini adalah malam kesejahteraan sehingga terbitnya fajar.

laitu kesejahteraan daripada neraka dan azab Tuhan bagi hamba yang menghidupkannya dengan amal ibadah.

Allah menurunkan kelebihannya dengan menurunkan satu surah penuh yang akan dibaca sehingga ke hari akhirat.
Para ulama’ Salaf dikalangan Sahabat dan Tabi’in bersedia dengan mandi dan berwangi-wangian pada malam-malam sepuluh yang terakhir sebagai persediaan untuk beribadat serta mencari dan menjejaki Lailatul Qadar yang telah dimuliakan oleh Allah dan diangkatkan kedudukannya.
Rugilah orang yang mensia-siakan umurnya dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.
Tampunglah segera kelalaian yang lalu dengan mencari Lailatul Qadar.
Sesungguhnya ia menyamai umur manusia bahkan lebih dari itu.

Apakah tempoh 83 tahun 3 bulan, sesuatu yang singkat? Beramal pada malam tersebut lebih baik dari kita beramal dalam tempoh 83 tahun, sesiapa yang telah melepaskan peluang kebaikan ini adalah orang yang akan kerugian. Bilakah Lailatul Qadar?

Bulan Ramadhan.Tidak syak bahawa Lailatul Qadar berlaku pada bulan Ramadhan berdasarkan ayat-ayat al-Quran bahawa aI-Quran diturunkan pada Lailatul Qadar, dan diturunkan pada bulan Ramadhan. Maka semestinya ia berlaku pada bulan Ramadhan.

Dalam satu hadis, Abu Zar ra bertanya kepada Nabi SAW, maksudnya:
“Wahai Rasulullah, khabarkan padaku tentang Lailatul Qadar, adakah ia pada bulan Ramadhan?” Jawab Baginda SAW: “Bahkan pada bulan Ramadhan”. [HR: Ahmad dan Nasa’i].

Sepuluh terakhir Ramadhan.Lebih dikhususkan pada sepuluh terakhir Ramadhan berdasarkan banyak hadis, antaranya hadis muttafaq alaih:
((تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ)) [متفق عليه]
Maksudnya: “Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh terakhir daripada Ramadhan”. [HR: Al-Bukhari dan Muslim].

Aisyah radhiallahu’anha(ra) meriwayatkan bahawa Rasulullah r bersungguh-sungguh pada sepuluh terakhir melebihi kesungguhannya pada masa-masa lain.
Di dalam hadith muttafaq alaih kata Aisyah ra: “Adalah Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh terakhir Baginda mengetatkan kainnya (tidak mendatangi isterinya), menghidupkan malam dan mengejutkan keluarganya”.

Aisyah ra juga meriwayatkan, maksudnya: “Adalah Nabi SAW pada dua puluh malam terawal mencampurkan antara solat dan tidur. Apabila tiba sepuluh terakhir, Baginda bersungguh-sungguh, dan mengetatkan kainnya”. [HR: Ahmad].

Kata Syeikh Muhammad bin Soleh aI-Uthaimin: “Zahir hadis ini menunjukkan bahawa Baginda menghidupkan keseluruhan malam dengan beribadah; iaitu berzikir, membaca al-Quran, bersolat dan membuat persediaan untuk ibadah lain seperti bersahur.

Menghidupkan malam bukan hanya dengan solat, malahan dengan pelbagai jenis ibadah seperti zikir, membaca aI-Quran, beristighfar, berdoa dan lain-lain. Oleh itu, apa yang dimaksudkan oleh Aisyah ra: “Aku tidak mengetahui Rasulullah pernah mendirikan malam sehingga pagi”, maksudnya Rasulullah SAW tidak pernah solat sahaja sepanjang malam.” Rasulullah SAW juga mengambil peluang sepuluh terakhir Ramadhan ini dengan mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah.


Baginda mahu supaya mereka juga tidak ketinggalan di dalam mendapat kebaikan yang disediakan Allah SWT.
Firman Allah SWT: Maksudnya:
{Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka}. [At-Tahrim: 6].


Tujuh malam terakhir.Bagi mereka yang tidak mampu menghidupkan pada permulaan sepuluh terakhir, maka boleh memulakan pada tujuh malam terakhir. Sabda Rasulullah SAW:
((التَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ -يَعْنِي لَيْلَةَ الْقَدْرِ- فَإِنْ ضَعُفَ أَحَدُكُمْ، أَوْ عَجَزَ، فَلا يُغْلَبَنَّ عَلَى السَّبْعِ الْبَوَاقِي)) [مسلم]
Maksudnya:
“Carilah pada sepuluh terakhir. Jika salah seorang di kalangan kamu lemah atau tidak berupaya, maka janganlah dia tertewas pada tujuh yang berbaki lagi.” [HR: Muslim].

Malam-malam ganjil (21,23,25,27,29).Malam-malam ini lebih diharapkan adanya Lailatul Qadar, kerana warid bahawa Nabi SAW menyebut malam-malam tersebut.
Malam 27 Ramadhan.Boleh jadi malam yang sangat diharapkan ialah pada malam 27, ini berpandukan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ubai bin Ka’ab ra beliau berkata, yang bermaksud: “Demi Allah sesungguhnya aku tahu pada malam bilakah ia, itulah malam yang mana Rasulullah SAW telah menyuruh kami untuk bangun beribadah, iaitu malam yang ke 27,” dan Ubai berkata lagi: “Melalui tanda-tanda dan alamat yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW kepada kami bahawasanya matahari yang akan terbit pada pagi harinya tiada (شعاع) sinarnya”

Namun ramai ulama’ berpendapat malam Lailatul Qadar berpindah di antara malam-malam witir, tetapi yang ghalib kebanyakannya pada malam 27, dan bukanlah suatu yang tepat sekiranya kita menganggap pada malam tersebutlah sahaja akan berlaku Lailatul Qadar. Wallahu a’lam.


Bacaan Malam Lailatul Qadar.Aisyah ra berkata: ”Wahai Rasulullah, sekiranya aku dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar apakah yang harus aku ucapkan?”
Rasulullah SAW bersabda: ((اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ، تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي))
Maksudnya: “(Ucapkanlah) Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Pemurah dan suka mengampunkan maka ampunkanlah aku.” [HR: Ahmad, at-Tirmizi, sahih].

Comments

Popular posts from this blog

...PILIHANRAYA...KWS MELAYU.....

Gambir Sarawak

belajar bahasa melayu sarawak....