Darul Hana.

Ini saya share dari Fb Haslina Bujang.

JAMBATAN DARULHANA BERMULANYA CERITA

MEMANG agak pelik dengan rakyat Sarawak dalam beberapa bulan ini. Isu yang kecil sentiasa dijadikan modal oleh pihak-pihak yang berkepentingan bagi melaga-lagakan kita semua.  Dan semalam pula satu ikon Kuching telah dirasmikan dengan penuh gilang gemilang di Tebingan Kuching menjadi mangsa mereka yang dangkal sejarah apabila namanya diberikan sebagai Jambatan Darul Hana.  Sudah tular nada-nada sumbang umpama kata bidalan, rumah sudah siap pahat baru berbunyi di kalangan rakyat Sarawak.  Mungkin mereka ini hanya ingin mengejar populariti hanya bersandarkan wadah songsang menidakkan kewujudan nama Darul Hana di dalam sejarah Sarawak. 

Di dalam kita menggodek sejarah Kerajaan Sarawak kuno ini maka kita bersandarkan dengan cerita yang termaktub di dalam Silsilah Raja-raja Brunei yang merupakan antara manuskrip sejarah kuno di negara Brunei Darussalam.  Di dalamnya terkandung cerita mengenai bagaimana di ketika pemerintahan Sultan Abdul Jalilul Akbar dilantik menjadi Sultan Brunei, adindanya iaitu Pengiran Muda Tengah turut mempunyai keinginan yang sama. 

Bagi mengelak adanya perebutan kuasa maka Sultan Abdul Jalilul telah menitahkan adindanya untuk membuka satu kerajaan baru nun di wilayah Sarawak.  Perlulah diketahui jauh sebelum Brooke berkuasa, wilayah Sarawak adalah wilayah kuripan Kerajaan Kesultanan Brunei dan ianya bukanlah sejarah bikinan sebaliknya satu kebenaran yang kita terima dari dahulu sehingga sekarang.

Diceritakan keberangkatan Pengiran Muda Tengah telah ditemani dengan lebih 1,000 orang pahlawan yang gagah perkasa iaitu terdiri daripada penduduk asal Borneo iaitu orang Sakai, Kedayan dan Bunut.  Turut bersama baginda adalah beberapa orang pembesar istana Brunei bagi membantu baginda membentuk sebuah kerajaan baru. 

Di Sarawak, Sultan baru dan pengikutnya membina sebuah istana dan benteng untuk mengelilingi istana. Semasa baginda dimahkotakan sebagai Sultan Sarawak, baginda menggelar dirinya sebagai Sultan Ibrahim Ali Omar dan baginda turut popular digelar sebagai Sultan Tengah.  Diperkira lokasi kewujudan Kerajaan Sarawak Darul Hana adalah sekitar Kampung Sungai Bedil yang kita kenali sekarang. 

Sultan Tengah diawal pemerintahannya mula melantik pembesar dan meyusun pentadbiran dan disinilah bermulanya kewujudan menteri-menteri seperti petinggi Datu Seri Setia, Datu Shahbandar Indera Wangsa, Datu Amar Setia Diraja dan Datuk Temenggong Laila Wangsa. Sudah menjadi lumrah suatu ketika dahulu apabila wujudnya kerajaan baru maka harus ada hubungan antarabangsanya. 

Sekitar 1599, Sultan Tengah melawat Pahang yang kemudian sebahagian daripada Kerajaan Johor untuk melawat ibu saudaranya Raja Bonda yang telah berkahwin Sultan Abdul Ghafur Muhyiddin Shah ibnu Sultan Abdul Kadir Alauddin Shah.  Semasa di Johor, Sultan Tengah diminta untuk menari dan dalam tarian tersebut, saputangan rakan tariannya hampir memukul wajah Sultan Tengah. Kerana tidak mampu menahan kemurkaannya akhirnya berlakulah episod satu tamparan mengena wajah rakan tariannya.  Atas hal ini menyebabkan Sultan Johor menjadi begitu murka lantas menitahkan vaginda meninggalkan Johor serta merta.

Semasa dalam pelayaran kembali ke Sarawak, kapal Sultan Tengah dilanda ribut yang menyebabkan kapalnya kehilangan kemudi utamanya. Kapalnya terkandas di Sukadana,  Kalimantan. Pada masa itu Sukadana dibawah pemerintahan Giri Mustika yang kemudiannya apabila memeluk Islam menggelar dirinya sebagai Sultan Muhammad Saifuddin.  Baginda berguru ilmu agama Islam dengan seorang syeikh bernama Syeikh Syamsudin dari Mekah.  Dengan beliaulah juga Sultan Tengah belajar mendalami ilmu agama Islam semasa di perantauan. 

Di Sukadana, Sultan Tengah berkahwin dengan seorang puteri, Puteri Surya Kesuma, adik Sultan Muhammad Saifuddin. Sultan Tengah tetap tinggal di Sukadana dan meminta kebenaran untuk membantu menyebarkan Islam di sekitar kawasan. Kebenaran diberikan hanya di sekitar Sungai Sambas. Dalam tahun 1600, Sultan Tengah meninggalkan Sukadana melalui Sungai Sambas dengan  40 perahu yang mana dikatakan turut dilengkapi dengan senjata.

Di Sungai Sambas, mereka mendarat di Kuala Bangun dan kemudian Puteri Surya Kesuma melahirkan seorang putera bernama Radin Sulaiman. Dua lagi putera menyusul selepas Radin Sulaiman.  Putera kedua dikenali sebagai Pengiran Badaruddin yang kemudian menjadi Pengiran Bendahara Seri Maharaja dan putera ketiga, Pengiran Abdul Wahab yang kemudian menjadi Pengiran Temenggong Jaya Kesuma.

Sultan Tengah akhirnya tiba di Kota Lama. Di sana, dia disambut oleh Ratu Kota Lama, Ratu Sepudak yang menyambutnya dengan penuh istiadat dan protokol kerajaan. Sultan Tengah mendapati bahawa Ratu Sepudak membolehkannya untuk menyebarkan Islam di sekitar daerah meskipun ia bukanlah seorang Muslim. Kemudian selama tinggal Kota Lama, putera tertua Sultan Tengah, Radin Sulaiman berkahwin dengan puteri Ratu Sepudak, Mas Ayu Puteri Bongsu. Pasangan itu mempunyai seorang putera bernama Radin Bima yang kemudian menjadi Sultan Muhammad Tajuddin.

Ketika Ratu Sepudak meninggal dunia, beliau  digantikan oleh Pengiran Prabu Kenchana yang dilantik Radin Sulaiman sebagai salah satu wazir-nya. Cerita juga mengatakan bahawa Ratu Sepudak ingin takhtanya diberikan kepada Sultan Tengah kerana beliau berpengalaman mentadbir negara tapi hal ini  ditentang oleh keluarga kerabat diraja.  Sekitar 1630, Sultan Tengah pergi ke Matan. Di Matan, beliau berkahwin dengan salah seorang Puteri Matan yang kemudian melahirkan Pengiran Mangku Negara. Pengiran Mangku Negara akhirnya menjadi Sultan Matan.

Setelah tinggal beberapa waktu di Matan, Sultan Tengah ingin kembali ke Sarawak. Dalam perjalanan itulah, baginda berhenti di suatu tempat yang disebut Batu Buaya di Santubong. Di sanalah dia dibunuh oleh salah seorang pengikutnya. Menurut desas desus dikatakan komplot pembunuhannya sememangnya dirancang kerana tidak mahu ada lagi pemerintahan yang lebih besar daripada Kerajaan Brunei itu sendiri di Borneo. 

Ketika berita kemangkatannya sampai ke istana Sarawak di pesisir Sungai Sarawak itulah, pembesar-pembesarnya seperti Datu Patinggi, Datu Amar dan Datu Temenggong serta yang lain telah mudik ke ke Santubong untuk menyelesaikan upacara pengebumian sesuai dengan tradisi kerajaan Brunei. Dokumentasi sejarah menyebutkan bahawa kemangkatan baginda adalah sekitar tahun 1641 iaitu selepas 10 tahun anakandanya Radin Sulaiman yang bergelar Sultan Muhammad Saifuddin, Sultan Sambas memerintah. 

Bagi mereka yang buta sejarah, ketahuilah kewujudan sebuah kerajaan kuno yang dinamakan Kerajaan Sarawak Darul Hana itu pernah ada berdekatan Jambatan Emas yang dirasmikan semalam.  Malah Makam Sultan Tengah yang merupakan sultan pertama dan sultan terakhir Sarawak Darul Hana masih lagi dijaga dan dipelihara di kaki Gunung Santubong sekarang sebagai saksi bisunya.  Sejarah Kerajaan Sarawak Darul Hana bukannya momokan semata-mata sebaliknya tertera namanya di dalam manuskrip sejarah berdirinya Kesultanan Sambas, Kesultanan Matan malah juga Silsilah Raja-raja Brunei serta Kesultanan Brunei Darussalam itu sendiri. 

JADI DIMANAKAH SALAHNYA JIKA PEHIN SRI ABDUL TAIB MAHMUD MENAMAKAN JAMBATAN EMAS SEBAGAI JAMBATAN DARUL HANA?  Kita sendiri mengetahui bahawa kawasan sekitar itu juga turut dinamakan pembangunan Darul Hana yang sudah semestinya mempunyai perkaitan dengan sejarah kuno ketamadunan di Kuching, Sarawak. 

Dalamilah sejarah Sarawak kerana hakikatnya tamadun Sarawak lebih dahulu bermula sebelum kedatangan Brooke.  Dek kerana itulah kita harus tahu membezakan yang mana satu sejarah “Sarawak Lama” dan sejarah “Sarawak Moden”.  Dan jangan sesekali ada anasir yang masih lagi cuba menidakkan signifikasi keberadaan Melayu di Sarawak di dalam kronologi bersejarah Sarawak. 

Di dalam Hikayat Sarawak asal yang ditulis pada tahun 1932 bertulisan jawi menyatakan (translate):

" perihal keadaan negeri SARAWAK DARUL HANA dan hal ehwal yag berlaku dengan sebenar-benarnya di dalamnya pada musim ianya diperintahi oleh pemerintah Brunei dan Sri Paduka Duli Tuan Raja Sir James Brooke " - Rakawi Yusuf, 1932, Hikayat Sarawak.

Jambatan Darulhana Bermulanya Cerita!!!

-HB-

Comments

Popular posts from this blog

Selamat Hari Gawai

Sahabat -sahabat ku.. Semoga persahabatan ini kekal hingga ke Jannah